
BINTANGOR: Seekor ular sawa batik berjaya ditangkap selepas menceroboh sebuah rumah di Kampung Muhibah.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor menerima panggilan kecemasan pada 9.19 malam sebelum tiga anggota bomba bergegas ke lokasi.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, operasi bermula 9.23 malam dan diketuai oleh Bahani Bajuri.
“Pasukan bomba menggunakan alat penjerut bagi menangkap ular sawa tersebut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada 9.46 malam tanpa sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya kepada media, baru-baru ini.
Ular sawa atau ‘Python reticulatus’ ialah spesies ular tidak berbisa yang mampu membelit dan menumpaskan mangsanya.
Ia juga merupakan ular terpanjang di dunia, boleh membesar lebih tujuh meter di habitat asal Asia Tenggara.
Oleh Earl Anek