SIBU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sibu terus giat menjalankan pemeriksaan dan pemantauan rutin harian melalui pasukan yang dianggotai pegawai penguatkuasa dan pegawai pemantau harga (PPH), kelmarin.
Menerusi kenyataan medianya, pemeriksaan tertumpu pada Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bekalan barangan keperluan asas, penutup hidung dan mulut dan cecair sanitasi tangan.
Selain itu, anggota yang menjalankan pemeriksaan dan pemantauan turut menasihati para peniaga supaya mematuhi harga barangan terkawal dan meletakkan penanda harga jualan.
Turut diperiksa adalah alat sukat dan timbang, siasatan aduan pengguna serta pemantauan harga di premis perniagaan borong dan runcit sekitar Sibu dan Sibujaya.
Pada masa sama, Bilik Gerakan KPDNHEP Sibu sentiasa beroperasi dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP.)
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, aduan atau pertanyaan boleh dibuat secara terus melalui e-aduan.kpdnhep.gov.my atau menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Sibu ditalian 084-335662 atau WhatsApp ke 019-2794317 (Aduan Pengguna).
Pengguna boleh menyemak dan membuat perbandingan harga sebelum membeli di laman sesawang ‘Price Catcher’.
Olej Nurzilla Mohamad