SHEILA ZAIDI
SEBUYAU: Penduduk Sebuyau turut tidak ketinggalan menerima bantuan bekalan makanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berlangsung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Datuk Julaihi Narawi berkata, kerajaan sedar akan kepayahan hidup yang dihadapi masyarakat khususnya di luar bandar semasa tempoh PKP.
“Rata-rata penduduk di Sebuyau ini adalah daripada golongan nelayan dan bekerja sendiri.
“Apabila PKP dilaksanakan, sudah tentu golongan ini terjejas dari segi pendapatan sekaligus memberi kesan dalam kehidupan seharian mereka,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi.
Menurut Julaihi, oleh sebab inilah kerajaan negeri keluar dengan inisiatif menyampaikan bantuan bekalan makanan asas dan keperluan lain bagi membantu meringankan beban rakyat.
Katanya, pengagihan bantuan makanan ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan semua penduduk diminta menunggu sahaja di kediaman masing-masing.
Julaihi memberitahu bahawa bantuan makanan ini telah ditempatkan di Dewan Kampung Sampat, Sebangan dan dikendalikan oleh petugas Pusat Khidmat DUN Sebuyau.
Manakala, urusan mengedar bantuan makanan ke setiap kampung atau rumah panjang akan diurus oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) masing-masing, katanya.
Dianggarkan seramai 3,300 buah rumah di kawasan Sebuyau menerima bantuan yang diagihkan secara serentak pada Sabtu lalu.
Bantuan ini juga adalah salah satu usaha kerajaan untuk memastikan rakyat terus dibekalkan dengan bekalan makanan sehingga wabak Covid-19 dapat dikawal sepenuhnya, ujarnya.