
Bapa Malaysia, hari ini. -Foto UKAS
KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menempatkan kapal jenis Multi Purpose Mission Ship (MPMS) buatan Turkiye bernilai USD68.8 juta (RM304.29 juta) di perairan Sarawak.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, langkah menempatkan aset besar agensi itu di negeri berkenaan mampu memperkukuh keselamatan dan kedaulatan perairan khususnya di Laut China Selatan.
Ia juga memastikan aset yang mencukupi bagi kawasan perairan yang luas selain menyokong operasi pencarian dan penyelamatan.
“Kapal ini mampu memuatkan empat bot laju untuk rondaan dan meningkatkan kemampuan pengawasan serta operasi pencarian dan penyelamatan.
“Fokus kita (APMM) ialah memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan Sarawak, khusus di Laut China Selatan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Tiga lokasi di Sarawak juga telah dikenal pasti untuk dibangunkan dengan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) iaitu di Canada Hill di Miri, Bukit Nyabau (Bintulu) dan Tanjung Datu (Kuching) dianggar bernilai RM200 juta.
“APMM juga sedang membangunkan zon maritim di Sarikei, kita telah mengenal pasti tanah dan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan tanah itu daripada kerajaan negeri.
“Projek lain ialah pembesaran jeti di Muara Tebas supaya kapal baru Tun Fatimah, dapat ditempatkan di Sarawak. Pada masa ini sukar untuk meletakkan kapal berkenaan kerana jeti di Muara Tebas pendek, projek untuk memanjangkan jeti telah diluluskan sebanyak RM79 juta dan sedang dijalankan,” ujarnya.
– BERNAMA