
KUALA LUMPUR: AmInvest telah mengisytiharkan pengagihan pendapatan kira-kira RM133.2 juta untuk 47 unit amanah dan dana borong dari Oktober hingga Disember 2024.
Pengagihan itu meliputi dana konvensional dan patuh Shariah merentas pelbagai kelas aset.
Ketua Pegawai Eksekutif AmFunds Management Bhd, Goh Wee Peng, berkata pembayaran itu mencerminkan strategi pelaburan syarikat yang kukuh dalam menguruskan pelbagai portfolio.
“Kami kekal komited untuk memberikan nilai kepada pelabur kami. Kami akan terus memberi tumpuan kepada kelas aset dengan asas yang kukuh dan potensi pertumbuhan untuk mencapai pulangan yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengagihan pendapatan setahun untuk 47 dana itu adalah antara 1.1 peratus hingga 15.7 peratus dengan dana AmIslamic Fixed Income Conservative mencatatkan pulangan tertinggi, diikuti oleh dana Advantage Global Equity Volatility Focused (14.7 peratus) dan dana Advantage Global High Income Bond (11.1 peratus), kata AmInvest.
AmInvest adalah nama jenama untuk perniagaan pengurusan dana AmFunds Management Bhd dan AmIslamic Funds Management Sdn Bhd. – Bernama