
SARATOK: Peruntukan berjumlah RM3.6 juta telah diluluskan oleh Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi menaik taraf pintu air dan kerja berkaitan di Kampung Perpat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata selain itu turut diluluskan oleh BDDA iaitu menaik taraf pintu air dan kerja berkaitan di Kampung Paloh yang peruntukannya berjumlah RM1.6 juta.
“Kontraktor telah dilantik menerusi tawaran tender bagi melaksanakan projek yang akan dilaksanakan pada tahun ini.
“Ini merupakan berita yang sangat gembira buat rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka apabila projek yang dipohon oleh rakyat sebelum ini, akhirnya bakal dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis berbuka puasa di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Perpat di sini petang semalam.

Mohamad Duri berkata agensi pelaksana projek iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Betong juga melakukan lawatan serah tapak projek dalam masa terdekat.
Beliau berharap kesemua pelaksanaan projek itu nanti akan memberi manfaat kepada masyarakat sekitar terutamanya golongan pekebun kecil.
“Saya berharap dengan kerjasama semua bersama agensi pelaksana untuk turun padang berterusan untuk memantau pelaksanaan projek terbabit itu nanti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan projek naik taraf Dewan Sri Pinang SK Kampung Perpat akan dilaksanakan melalui peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang mana agensi pelaksana projek tersebut adalah Majlis Daerah Saratok.
Majlis yang cukup meriah dan telah dihadiri sekitar 350 penduduk Kampung Perpat turut menciptakan satu hari yang cukup bersejarah buat warga Kampung Perpat apabila turut diadakan majlis serah tapak projek oleh agensi pelaksana DID dan Majlis Daerah Saratok selaku agensi pelaksana projek.
Majlis itu juga turut diserikan dengan sumbangan duit raya kepada golongan asnaf dan anak yatim Kampung Perpat.
Turut hadir Pegawai Daerah Kabong, Tahir Mohd Sharee, Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok, Putra Ila, Konselor Saee Ason dan penduduk setempat.
Oleh Adi Saparman