SIBU: Sebanyak 17 gerai penjaja kecil yang dinaik taraf di Kampung Nangka bakal beroperasi pada penghujung bulan ini.
Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr. Annuar Rapa’ee berkata, penjaja dijangka dapat memulakan aktiviti perniagaan mereka selepas kerja-kerja menaik taraf siap dijalankan.
“Buat masa sekarang, kita masih dalam proses untuk memasang bekalan elektrik dan air bagi setiap kiosk.
“Selepas kesemuanya siap, orang ramai boleh menikmati pelbagai juadah yang dijual di kawasan ini,” katanya.
Jelasnya, projek naik taraf tapak perniagaan tersebut bernilai kira-kira RM242,000.
“Projek ini bertujuan untuk mewujudkan kawasan penjaja terbaik di Sarawak yang akan mempunyai kiosk termoden dan mesra pengguna.
“Jika dibandingkan dengan sebelum ini, keadaan gerai yang digunakan oleh para penjaja kelihatan kurang menarik serta tiada kemudahan bekalan elektrik dan air.
“Maka, timbul idea untuk menaiktaraf dan mewujudkan kiosk yang teratur dan dapat menarik lebih pelanggan,” ujarnya.
Terdahulu, kerja-kerja meroboh gerai lama dan membersihkan kawasan tapak perniagaan telah dijalankan pada 10 Jun lalu dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sibu (MPS).
Dalam pada itu, Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka mengingatkan penjaja supaya sentiasa menjaga kebersihan kawasan tersebut.
“Pastikan kawasan gerai anda berada dalam keadaan kemas dan bersih supaya dapat menarik lebih ramai pelanggan.
“Adalah menjadi harapan kita supaya dapat mengubah kawasan tersebut menjadi kawasan penjaja terbaik di Sarawak,” jelasnya.
Oleh Nurzilla Mohamad