KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan rumah ibadat bukan Islam di Sarawak.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sidique dalam kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap menteri yang bertanggungjawab ke atas UNIFOR, Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut memuji UNIFOR kerana ia sebuah unit yang sangat praktikal dan penting.
“UNIFOR adalah sebuah organisasi unik di Sarawak kerana mempromosikan kerjasama, persefahaman, toleransi, penerimaan dan saling menghormati antara Islam dan agama lain di negeri ini.
“Kita telah belajar dan akan terus belajar lebih banyak dari Sarawak dari segi mempromosikan dan memperkukuhkan toleransi, perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama.
“UNIFOR adalah contoh yang paling sempurna untuk mencapainya dengan kejayaan yang besar,” katanya semasa melakukan kunjungan hormat kepada Uggah di sini, semalam.
Halimah turut menyatakan dalam pertemuannya dengan Yang DiPertuan Agong baru-baru ini, beliau telah memberitahu Baginda mengenai UNIFOR, objektif serta peranannya.
“Baginda ingin mengetahui peranan kementerian kita dalam mempromosikan perpaduan dan keharmonian antara agama.
“Saya akan mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertuan Agong sekali lagi bersama ketua agama dan organisasi agama di Malaysia.
“Justeru, saya turut menjemput Datuk Amar (Uggah) untuk menghadiri mesyuarat ini dan beliau nanti boleh memberikan taklimat serba sedikit mengenai pembentukan serta peranan UNIFOR kepada Baginda,” ujarnya.
Halimah yang ditemani oleh timbalan menterinya, Senator Dato Ti Lian Ker, Ketua Setiausaha kementeriannya, Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi dan Ketua Pengarahnya, Datuk Hisamuddin Mohd Sujak berkata, kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan UNIFOR dan belajar dari UNIFOR dalam pengalaman serta kesungguhan menangani semua masalah agama.
“Kami ingin mencontohi dan menyesuaikan konsep UNIFOR ke dalam Jawatankuasa Keharmonian Kaum kami, berharap pihak UNIFOR dapat membimbing serta memberikan nasihat,” katanya lagi.
Sementara itu, Uggah dalam ucapannya menyatakan bahawa UNIFOR telah memainkan peranannya dalam meningkatkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak.
“Mereka sekarang mempunyai tempat untuk mengadu masalah mereka dan kita akan membantu menyelesaikan untuk mereka dan tanpa sebarang diskriminasi.
“UNIFOR juga merupakan jambatan perhubungan antara Islam dan pelbagai kumpulan agama yang mana isu yang boleh membawa kita ke konflik akan dibincangkan secara baik dan diselesaikan untuk manfaat semua ,” kata Uggah.
Tambah Uggah, usaha ini adalah untuk kepentingan negara juga sekiranya Sarawak terus menikmati keharmonian dan perpaduan antara kaum dan agama.
Bercakap mengenai KPN, Uggah mengatakan ia adalah salah satu kementerian yang paling penting dan ia adalah sebab Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin memutuskan untuk menjadikannya sebuah kementerian sendiri.
Manakala , Pengarah UNIFOR, Richard Lon dalam taklimatnya kepada Halimah menyatakan dari 2.6 juta populasi penduduk Sarawak (2013), kira-kira 1.1 juta atau 42.6 peratus adalah beragama Kristian, 837,200 atau 32.2 peratus adalah Islam, 351,000 atau 13.5 peratus penganut Buddha dan 304,000 atau 11.7 peratus mengamalkan kepercayaan lain.
“Terdapat kira-kira 2,335 gereja dan kuil di seluruh negeri dan kerajaan negeri sejak 2016 telah memberikan geran berjumlah RM115 juta kepada UNIFOR yang membolehkan 520 projek dijalankan selain memperuntukkan kawasan seluas 1. 2 hektar di Jalan Ong Tiang Swee di Kuching untuk membina kompleks pejabat UNIFOR,” ujarnya.
Turut hadir, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Sri Dr.Sim Kui Hian dan timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ik Pahon.
Oleh Zarina Abdullah