
KANOWIT: Seramai 67 penduduk dari 27 Keluarga Isi Rumah (KIR) dari empat rumah panjang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kompleks Sukan, Daerah Kanowit selepas kediaman mereka dinaiki air malam tadi, (20 Mac).
Menurut Pegawai Bencana, Operasi, Latihan dan Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sibu, Kapten (PA) Azamshah Apparel Kapten berkata, mereka ialah Rumah Guntor, Nanga Ngemah (1 KIR, 18 orang), Rumah Ninti, Sungai Ngemah (empat KIR, empat orang), Rumah Danneil, Nanga Peranan, Poi Kanowit (enam KIR, 16 orang) dan Rumah Asay, Nanga Kabah Kanowit (16 KIR, 29 orang).
“Daripada jumlah keseluruhan mangsa, terdapat lima warga emas lelaki, sembilan warga emas wanita, lapan lelaki dewasa, 23 wanita dewasa, 12 kanak-kanak lelaki, tujuh kanak-kanak perempuan serta tiga bayi,” katanya, sebentar tadi.
Sehingga kini, katanya, PPS berada dalam keadaan terkawal dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Beliau turut menasihatkan penduduk yang terjejas supaya terus berhubung dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan yang sewajarnya.
Oleh Akun Giman