
KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir dan isteri memanfaatkan Ramadan yang mulia dengan meluangkan masa bagi mendekati rakyat dengan solat berjemaah di beberapa surau dan masjid di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Antara surau dan masjid yang menjadi persinggahan beliau dan isteri, Datin Meryani Yassin ialah Surau An Nur Rahman, Kampung Metang Desa, Masjid Lama Darul Nadwah, Surau Amanah Kampung Hilir Darat Kabong, Masjid Ar-Rahim Kampung Gerigat, Masjid Ar-Rahman Kampung Sessang dan Masjid Assasul Islam Kampung Alit.
Chee Kadir dan isteri juga meluangkan masa untuk sama-sama masyarakat dalam sesi ‘moreh’ iaitu minum malam bersama jemaah selepas selesai solat Isyak dan Tarawih.
“Kedatangan Ramadan adalah peluang kepada kita untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan menggandakan amal ibadah dan doa kita.
“Ia juga sebenarnya merupakan peluang baik untuk memupuk hubungan yang lebih baik dengan saudara Islam yang lain melalui pelbagai aktiviti keagamaan,” katanya.
Chee Kadir berkata mengingatkan umat Islam agar terus bersyukur kerana dapat menyambut Ramadan dalam keadaan aman dan harmoni.
Beliau berkata ketika umat Islam di negeri ini meriah dan sederhana menyambut Ramadan, umat Islam di beberapa negara Islam lain ketika ini sedang menghadapi cabaran dan musibah besar termasuk ancaman keselamatan, perpaduan dan kesejahteraan.
“Adalah wajib bagi umat Islam di negeri ini sentiasa mensyukuri di atas segala nikmat kurniaan Allah SWT yang dilimpahkan kepada rakyat di negara ini.
“Kita wajib mensyukuri nikmat itu mudah-mudahan Allah terus menggandakan nikmat kepada kita semua agar negara kita kekal aman dan makmur dan umat Islam terus hidup dalam suasana harmoni bersama masyarakat lain di negara ini,” katanya.
Oleh Adi Saparman