
KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak mengorak langkah awal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 dengan menyusun strategi dan memperkukuh jentera wanita di setiap peringkat.
Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata persiapan ini adalah sebahagian daripada agenda utama mesyuarat Majlis Tertinggi Wanita PBB Bil.1/2025 bagi sesi 2025-2028 yang berlangsung di Bilik Persidangan PBB Sarawak, Sabtu lalu.
“Wanita PBB akan memastikan jentera pilihan raya bergerak dengan lebih sistematik dan berkesan dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi.
“Ini adalah langkah penting bagi memastikan kemenangan parti dalam PRN Sarawak yang akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, Pergerakan Wanita PBB mengumumkan penubuhan biro di empat zon utama, iaitu Zon Selatan, Zon Betong, Zon Tengah, dan Zon Utara. Penubuhan biro ini bertujuan memperkukuh aktiviti di peringkat cawangan dan ranting sepanjang sesi 2025-2028.
Timbalan Ketua Wanita I PBB, Datin Sri Angelina Ujang, yang membentangkan penubuhan biro tersebut, berkata langkah ini akan memperkasakan kepimpinan Wanita PBB di seluruh negeri.
Bagi memastikan keberkesanan perancangan, Wanita PBB turut melantik Ketua dan Timbalan Ketua bagi setiap zon.
Antara yang dilantik ialah Rodiyah Sapiee sebagai Ketua Zon Selatan, Umang Nangku sebagai Ketua Zon Betong, Fridah Osman sebagai Ketua Zon Tengah, dan Lilla Raja @ Lilla Wong sebagai Ketua Zon Utara.
Tambah Fatimah lagi, pelantikan ini melibatkan pemimpin berpengalaman yang akan memastikan segala perancangan parti dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.