
SIBU: Unit Transfusi Darah Hospital Sibu menyeru orang ramai untuk menyertai kempen derma darah yang akan diadakan hujung minggu ini bagi memastikan bekalan darah mencukupi untuk keperluan pesakit di hospital tersebut.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Bank Darah Hospital Sibu, kempen berkenaan dijadual berlangsung pada 22 dan 23 Mac di dua lokasi berbeza.
“Pada 22 Mac, kempen akan diadakan dari 9.00 pagi hingga 1.00 petang di Methodist Theological School, Jalan Tun Abang Haji Openg.
“Pada 23 Mac pula, sesi derma darah akan berlangsung dari 9.30 pagi hingga 2 petang di Sibu Life Care Society, Zon Jingga, Star Megamall,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai termasuk penderma kali pertama diseru untuk mengambil bahagian bagi membantu menampung keperluan darah hospital.
Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti kempen derma darah, orang ramai boleh menghubungi Tabung Darah Hospital Sibu di talian 084-343333 sambungan 2010.
Oleh Tarani Lanting