
SIMANGGANG: Sejumlah RM1,700 derma kilat daripada ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) Kawasan Ladong dan Lingga diserahkan kepada mangsa kebakaran di Kampung Hilir Simanggang, pagi tadi.
Penyerahan sumbangan hasil daripada derma kilat oleh 17 KMKK dari Kawasan Ladong dan Lingga itu disampaikan oleh Temenggung Mohamad Shah Achang kepada Sahari Pon.
Pemanca Abang Norin Abang Norudin berkata, nasib empat sekeluarga yang hilang tempat tinggal selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran pada Jumaat lalu terbela selepas mereka menerima sumbangan daripada pelbagai pihak.
“Pagi ini, pihak kita telah turun padang bagi menyampaikan sumbangan RM1,7000 hasil kutipan daripada KMKK Ladong dan Lingga.
“Saya berterima kasih kepada semua pengerusi-pengerusi KMKK kerana telah bersama membantu mangsa kebakaran bagi meringankan beban yang ditanggung,” katanya.
Beliau mengharapkan agar lebih ramai individu, persatuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) tampil menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran ini bagi memastikan nasib mangsa ini dapat dibela dengan sebaiknya.
Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan Tabung Bencana Kebakaran yang dilancarkan pada Sabtu lalu di Surau Kebahagiaan Kampung Hilir Simanggang akan terus dibuka bagi membolehkan orang ramai tampil menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran.
“Untuk makluman, Tabung Bencana Kebakaran ini akan diletakkan di Surau Kebahagiaan Kampung Hilir Simanggang pada sebelah pagi, dan diletakkan di Simanggang Ramadan Fest (Bazar Ramadan) di Jalan Kelab Simanggang pada sebelah petang.
“Kita jangkakan beberapa hari sebelum Aidilfitri, Tabung Bencana Kebakaran itu dibuka sebelum diserahkan kepada mangsa kebakaran bagi meringankan beban mangsa untuk menyambut kedatangan Syawal nanti,” jelasnya.
Orang ramai yang bermurah hati diminta supaya tampil menderma sumbangan mereka pada Tabung Bencana Kebakaran yang diletakkan di Surau Kebahagiaan Kampung Hilir Simanggang (pagi) dan Simanggang Ramadan Fest (petang).
OLEH ADI SAFARMAN