

-Foto UBAN DANA
SPAOH: Seluas 60 ekar tanah bagi membangunkan Taman Pertanian (Agropark) di Bebuling yang bakal menjadi sebuah pusat pengeluaran produk pertanian berteknologi tinggi dan moden.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Taman Pertanian berkenaan kelak menggunakan teknologi terkini bagi aktiviti pertanian dan penternakan udang kara yang mampu meningkatkan ekonomi dan pendapatan penduduk terutamanya golongan petani dan penternak.
Katanya, kemudahan lapangan terbang, pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan (CPPC) di kawasan itu turut menawarkan pilihan untuk pengangkutan produk yang lebih pantas ke pasaran.
“Sebab itu, kita sediakan prasarana lapangan terbang, pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan dan taman pertanian akan menjadi pusat pengeluaran produk pertanian dan penternakan.
“Dengan ini, produk pertanian dan penternakan akan dapat dieksport ke luar Betong seperti ke Kuching ke Sibu atau pun tempat lain sekali gus menjadikan Bukit Saban sebagai hab pengeluaran makanan utama di Bahagian Betong,” katanya semasa Majlis Berbuka Puasa di Masjid Darul Syifa Spaoh, petang semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, taman pertanian itu akan dikendalikan syarikat besar mempunyai modal dan teknologi moden untuk mengeluarkan produk pertanian berkualiti.
Dalam perkembangan lain, kerajaan akan membangunkan semula Replika Kubu Rentap di Bukit Sadok dalam memacu sektor perlancongan di Bahagian Betong, selain sektor pertanian.
“Replika Kubu Rentap di puncak Bukit Sadok diyakini akan menjadi satu produk pelancongan dan tarikan utama pengunjung ke bahagian Betong kelak. Produk pelancongan yang kita buat di kawasan ini ialah untuk membina semula Replika Kubu Rentap di Bukit Sadok yang menjadi tarikan dan tumpuan pengunjung.
“Di Spaoh ini sudah ada inap desa dan makanan-makanan yang enak begitu juga di rumah-rumah panjang sudah ada produk tersendiri yang perlu ditonjolkan untuk mengembangkan industri pelancongan di kawasan kita,” katanya sambil menambah Bukit Sadok terkenal dengan sejarah sebagai tapak kubu pahlawan Iban iaitu Panglima Rentap.
Pada masa sama, kawasan Betong juga mempunyai beberapa rumah panjang yang masih mengekalkan ciri tradisional dan cantik dan menarik, selain keindahan alam semula jadinya.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan geran Projek Kecil Luar bandar (MRP) kepada 10 surau dan masjid di Spaoh dengan jumlah keseluruhan RM60,000.
Turut hadir, Datin Amar Doreen Mayang, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai, Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh, Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Abang Mohamed Abang Turkey dan Setiausaha Majlis Daerah Betong, Lister Clement Guwie.
OLEH ADI SAFARMAN