


MUKAH: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai melepaskan tembakan di tempat awam Sungai Maban, Balingian.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, berdasarkan laporan yang diterima, kejadian berlaku pada sekitar 4.30 petang semalam.
Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis (IPD) Mukah menerima laporan daripada seorang wanita berusia 57 tahun, memaklumkan terdengar bunyi tembakan sebanyak dua kali semasa bersama anaknya memasang pukat di Kolam Ikan Sungai Maban, Balingian.
“Wanita yang tidak bekerja itu melihat seorang lelaki yang dikenali sedang memegang senjata api dan mereka telah melarikan diri untuk keselamatan,” katanya menerusi siaran media hari ini.
Katanya, bertindak atas laporan, pada sekitar 1.00 awal pagi tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Mukah telah menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 56 tahun.
“Serbuan dilakukan di sebuah bilik Rumah Panjang Sungai Maban Balingian. Turut dirampas ialah selaras senapang angin buatan sendiri, sebanyak 15 guli yang digunakan sebagai peluru dan satu botol berisi bahan api dipercayai spirit.
“Suspek dan barang rampasan di bawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
“Kes juga disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
“Suspek direman empat hari hingga 20 Mac ini bagi melengkapkan siasatan,” tegasnya.
OLEH AKUN GIMAN