VALENTINE NGUMBANG
SRI AMAN: Sejumlah 608 Ketua Isi Rumah (KIR) dari 34 rumah panjang dalam kawasan Undop Batu Lintang di sini telah menerima bantuan makanan bagi fasa pertama yang telah dikendali oleh Pusat Khidmat Masyarakat ADUN N32 Simanggang.
137 KIR daripada jumlah berkenaan datangnya dari 10 rumah panjang berdekatan kawasan Ulu Paku dengan kesemua mereka telah pun menerima bantuan makanan berkenaan di Dewan Komuniti Ulu Paku di sini.
Manakala, baki 417 KIR lagi datangnya dari 24 rumah panjang berdekatan kawasan Undop dengan kesemua mereka menerima bantuan makanan itu di Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang di sini.
Kesemua bantuan makanan kepada 608 KIR di kawasan Undop, Batu Lintang tersebut telah pun disampaikan oleh Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang.
“Menyedari beban yang ditanggung oleh rakyat sepanjang berlangsungnya penguatkuasaan Perintah Arahan Pergerakan (PKP) di negara ini semenjak 18 Mac lepas maka kerajaan telahpun bertindak melulus bantuan makanan kepada mereka yang terjejas.
“Walaupun tidak mencukupi namun usaha kerajaan berhubung perkara ini adalah merupakan empati langsung apa yang diperlukan oleh rakyat ketika mengharungi pandemik Covid-19 pada masa sekarang,” kata beliau.
Harden juga turut memberitahu, penyaluran bantuan makanan melalui Pusat Khidmat Masyarakat ADUN N32 Simanggang bagi fasa pertama ini akan lebih tertumpu terhadap penduduk di kawasan pedalaman.
“Kita akan memberi lebih banyak tumpuan terhadap penduduk di kawasan pedalaman kerana mereka menerima impak lebih teruk semenjak berlaku penularan Covid-19 pada masa sekarang,” katanya.
Beliau ketika menyampaikan bantuan itu juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kerana membantu mengagih bantuan tersebut kepada KIR di sini.
Hadir sama bagi menyaksikan upacara penyampaian sumbangan makanan berkenaan adalah Timbalan Residen Sri Aman, Elvis Didit dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Vivian Engkiong.