KUALA LUMPUR: Dagangan saham AirAsia Group Bhd di Pasaran Utama Bursa Malaysia digantung bermula 9.00 pagi semalam dan hanya akan disambung semula pada 2.30 petang.Harga saham AirAsia ditutup pada 85.5 sen pada Selasa.
Oleh itu, dagangan dalam waran berstruktur AirAsia turut digantung pada masa sama, demikian diumumkan Bursa Malaysia semalam.
“Dimaklumkan bahawa dagangan dalam sekuriti AirAsia akan terus digantung sementara menunggu maklumat tambahan daripada syarikat itu,” menurut bursa tersebut.
Sementara itu, Lembaga Pengarah AirAsia dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata, syarikat telah mencetuskan kriteria yang tertakluk kepada Perenggan 8.04 dan Perenggan 2.1(e) Nota Amalan 17 (PN17) daripada keperluan penyenaraian utama (Main LR).
Bagaimanapun, Airasia berkata ia tidak akan diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai PN17 dan tidak akan diminta untuk mematuhi tanggungjawab Main LR untuk tempoh 12 bulan dari tarikh pengumuman ini.
Ia akan menilai semula keadaannya dan mengumumkan sama ada ia terus mencetuskan mana-mana kriteria dalam PN17 daripada Main LR selepas tamat tempoh 12 bulan dari tarikh pengumuman ini, menurut AirAsia.
Pandemik Covid-19 telah menjejaskan prestasi kewangan AirAsia Group Bhd, menyebabkan kumpulan syarikat penerbangan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM803.85 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2020, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM96.09 juta pada suku tahun sama tahun lepas. – Bernama