KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan bekerjasama untuk melahirkan usahawan berkaitan pertanian (agropeneuer) dalam negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee telah mengadakan perbincangan untuk merealisasikan hasrat tersebut.
“Pelbagai input pertanian, latihan dan permodenan pertanian ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dibincangkan bersama dalam pertemuan ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Penglibatan koperasi berasaskan pertanian ujarnya diharap dapat meningkatkan output dan menambahkan pendapatan koperasi terutamanya dalam menceburi pertanian moden yang mana pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan setuju untuk membantu dan memberikan bekerjasama.
“Saya berharap kerjasama strategik antara MEDAC dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mampu memainkan peranan dalam mempertingkatkan lebih ramai usahawan koperasi yang lebih kreatif dan inovatif.
“Pada masa yang sama, saya yakin usahasama ini juga mampu melahirkan lebih ramai agroprenuer khususnya usahawan muda dan wanita dalam bidang pertanian dan industri makanan,” jelasnya.
Oleh Diyana Samsuddin