
KUCHING: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Dr Adnan Mat menggesa penjawat awam wanita mengambil langkah proaktif dengan menyertai Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) bagi melindungi diri selepas waktu bekerja.
Beliau berkata walaupun penjawat awam wanita menerima gaji dan bekerja sepanjang hari, mereka juga memainkan peranan penting sebagai suri rumah apabila pulang ke rumah.
“Oleh itu, SKSSR bertujuan memberikan perlindungan kepada mereka dalam kehidupan seharian di rumah kerana risiko keselamatan di rumah tidak sama dengan keadaan di tempat kerja.
“Risiko di tempat kerja boleh dikawal tetapi di rumah tiada jaminan keselamatan yang sama. Dengan SKSSR, mereka boleh mendapat perlindungan dengan kos yang rendah dan saya menyeru penjawat awam wanita memanfaatkan skim ini demi masa depan lebih terjamin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Adnan, berkata Cuepacs berusaha meningkatkan kemahiran penjawat awam dengan memberikan penerangan tentang Pensijilan Skim Kemahiran Malaysia yang dapat membantu meningkatkan kepakaran.
“Usaha ini penting bagi memastikan penjawat awam dapat meningkatkan kemahiran mereka selaras dengan kenaikan gaji seperti yang disebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu penjawat awam perlu memberi pulangan yang setimpal dengan kenaikan gaji mereka,” katanya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa penjawat awam komited menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan terus meningkatkan kemahiran demi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan negara berjalan lancar, selaras dengan kenaikan gaji yang diterima. – Bernama