
KUALA LUMPUR: Pemain beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan mempamerkan daya tahan yang luar biasa apabila mengatasi ketakutan terhadap kecederaan pada set kedua untuk melonjakkan diri dan gandingannya, M. Thinaah, ke suku akhir Seluruh England di Birmingham hari ini.
Beregu pilihan kelima itu mengambil masa 43 minit untuk menyingkirkan pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dalam aksi pusingan kedua kejohanan badminton tertua dunia di Utilita Arena.
Pearly-Thinaah bermula dengan baik pada set pembukaan apabila menang 21-16 dan kekal tidak dapat dihalang pada set kedua sambil mendahului 15-7.
Bagaimanapun, Pearly mengalami kecederaan buku lali namun enggan mengibar bendera putih, sebaliknya mengambil keputusan untuk meneruskan permainan dan mengabaikan kesakitan yang dialami sebelum melengkapkan permainan dengan kemenangan 21-14.
Menanti di suku akhir esok, beregu nombor lima dunia itu akan berdepan dengan pilihan ketiga kejohanan, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, selepas beregu Jepun itu menewaskan pasangan adik-beradik, Gabriela Stoeva-Stefani dari Bulgaria, 21-14, 21-19.
Sementara itu, beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai hanya mengambil masa 25 minit untuk layak ke suku akhir selepas mudah menewaskan pasangan Scotland, Alexander Dunn-Julie MacPherson 21-9, 21-10.
Menanti Soon Huat-Shevon di suku akhir esok ialah gandingan China, Jiang Zhen Bang-Dong Ping, yang menyingkirkan beregu Taiwan, Lu Ming Che-Hung En Tzu, 21-13, 21-17.
Shevon mengakui perjalanan mereka agak lancar sejak awal menentang lawan di pusingan kedua dan akan melakukan beberapa kajian, terutamanya dalam permainan Dong Ping, dalam usaha menempah tempat ke separuh akhir.
“Saya rasa dia (Dong Ping) pemain serba boleh. Dia boleh bermain di bahagian belakang dan depan, sangat stabil dalam pukulannya dan agak sukar untuk mengutip mata mudah menentangnya. Kami perlu bersabar dan pastikan setiap pukulan penting,” katanya. – Bernama