
BULAN Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan, rahmat dan peluang yang besar untuk umat Islam memperbaiki diri serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia menyambut kedatangan bulan ini dengan penuh kegembiraan dan harapan.
Pada bulan ini, setiap amalan yang dilakukan akan memperoleh ganjaran yang berlipat ganda, menjadikannya sebagai bulan yang sangat dinanti-nantikan oleh setiap Muslim. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dunia itu adalah untuk empat golongan hamba antaranya hamba yang diberikan rezeki oleh Allah SWT serta kefahaman terhadap ilmu agama. Dia bertakwa kepada Allah SWT dalam menggunakan hartanya dan digunakan untuk menyambung silaturahim. Dan ia menyedari hak Allah SWT yang ada pada hartanya. Maka inilah kedudukan hamba yang paling baik.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Allah SWT memuliakan orang yang suka bersedekah. Ia menjanjikan balasan yang menakjubkan bagi orang yang gemar bersedekah hingga 700 kali ganda jika di luar Ramadan. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah SWT, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah SWT melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maaha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetaahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah ayat 261)
Oleh itu, semangat untuk beribadah dengan penuh keikhlasan perlu diterapkan dalam setiap aktiviti sepanjang Ramadan. Beribadah dengan sepenuh hati dan niat yang tulus akan membawa manfaat yang besar bukan hanya di dunia, malah di akhirat.
MEMAANFAATKAN RAMADAN SEBAIKNYA
Tujuan utama puasa bukan hanya menahan lapar dan dahaga, akan tetapi menahan diri daripada melakukan sebarang perbuatan yang boleh mendatangkan dosa dan mengurangkan pahala. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183)
Melaksanakan setiap amalan dengan mengharapkan pahala dan reda Allah SWT. Meskipun, perbuatan itu terlihat kecil tetapi ganjarannya besar di sisi Allah SWT.
Puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keihlasan akan membawa kepada pengampunan dosa, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
KAEDAH MENINGKATKAN SEMANGAT BERIBADAH DI BULAN RAMADAN
Bagi memastikan semangat beribadah tetap tinggi sepanjang Ramadan, ialah dengan memperbanyakkan membaca al-Quran.
Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan kerana ia merupakan bulan yang mana al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW sendiri memperbanyakkan membaca al-Quran sepanjang bulan ini. Sepertimana yang diterangkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, beliau berkata, “Rasulullah SAW lebih banyak beribadah pada Ramadan daripada bulan yang lain.”
Selain itu, meningkatkan ibadah sunat seperti solat tarawih, tahajud, serta berdoa kepada Allah SWT sangat digalakkan. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud: “Barangsiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah SWT dengan melakukan ibadah sunat pada Ramadhan, maka dia akan meraih keampunan Allah SWT.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

INSAN YANG DERMAWAN
SAIDINA Uthman bin Affan tergolong sebagai salah seorang sahabat yang kaya raya. Kekayaan yang diberikan Allah SWT kepadanya hasil daripada usahanya dalam bidang perniagaan adalah melimpah ruah.
Namun kekayaan yang dimilikinya tidak sedikit pun menyebabkan dirinya berasa angkuh, sombong, tamak dan kedekut. Malah kekayaan yang dimilikinya digunakan untuk kepentingan agama dan umat Islam.
Sungguh banyak sekali sumbangan yang dilakukan oleh Saidina Uthman bin Affan dari segi harta benda. Antaranya ialah membeli tanah berhampiran Masjid Nabawi bagi tujuan perluasan masjid tersebut. Ketika Rasulullah SAW mula-mula tiba di Madinah, baginda telah membangunkan masjid.
Oleh kerana jumlah orang yang memeluk Islam semakin hari semakin bertambah, maka keluasan Masjid Nabawi yang sedia ada tidak mampu lagi menanggung jumlah jemaah yang hadir.
Oleh itu dana diperlukan untuk memperluaskan masjid itu. Bagi tujuan tersebut, Rasulullah SAW telah menyarankan kepada para sahabat untuk membeli tanah di sekitar Masjid Nabawi. Maka Saidina Uthman bin Affan pun membeli tanah tersebut dengan harga 25,000 dinar. Dengan itu, Masjid Nabawi dapat diluaskan.
Ketika Fathul Makkah pula, Saidina Uthman bin Affan telah membeli sebuah rumah yang sangat berdekatan dengan Masjidil Haram.
Lantas kawasan rumah itu dimasukkan di dalam kawasan masjid. Saidina Uthman bin Affan juga telah membeli telaga rumah dengan harga 20,000 dirham dan diwakafkan kepada umat Islam di Madinah.
Oleh itu, seluruh umat Islam tanpa mengira taraf kedudukan dapat memanfaatkan telaga yang dibeli oleh Saidina Uthman bin Affan itu. Tatkala perang Tabuk pula, Saidina Uthman bin Affan telah menyumbangkan 600 ekor unta dan 60 ekor kuda untuk tunggangan para tentera Islam.
Beliau juga telah memberikan wang sebanyak 10,000 dinar berserta dengan ketulan emas kepada Rasulullah SAW.
Sifat dermawan Saidina Uthman bin Affan juga boleh dilihat pada amalannya yang suka menebus dan membebaskan hamba-hamba. Saidina Uthman bin Affan berkata, “Setiap kali datang hari Jumaat, aku akan memerdekakan seorang hamba sejak aku masuk Islam. Jika aku tidak mendapatkan hamba yang boleh dimerdekakan pada hari Jumaat itu, maka aku gabungkan pada hari Jumaat berikutnya.”
Malah ada riwayat yang menyatakan bahawa ketika Saidina Uthman bin Affan berada pada keadaan yang genting dan kritikal iaitu ketika beliau dikepung oleh para pemberontak, beliau sempat memerdekakan dua puluh orang hamba.
Oleh Hanzalah Azman