SEMATAN: Tuduhan sesetengah pihak kononnya tanah yang diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri oleh kerajaan bertujuan untuk merampas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) adalah tidak benar dan berunsur politik murahan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri sebagai rizab komunal bumiputera adalah untuk mengenal pasti dan mengesahkan sempadan tanah NCR yang sahih serta didaftarkan di dalam daftar tanah.
“Oleh itu, tiada lagi keraguan mengenai sempadan antara komuniti kerana sempadan yang telah diukur, ditanda dan diplotkan di dalam pelan kadastra dan maklumat ini boleh diakses dan dirujuk di mana-mana Pejabat Tanah dan Survei Bahagian atau secara atas talian melalui eMap dan LASIS Mobile Apps,” tegasnya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan dan Sumber Asli Kedua berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18, Kanun Tanah Negeri Kampung Pueh Sematan di Kem Putra Sentosa, Sematan, semalam.
Beliau berkata, sempadan yang jelas itu akan memudahkan pengukuran lot individu bagi pengeluaran surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri dan pembangunan tanah secara berkelompok di bawah NCL development atau pembangunan tanah oleh SALCRA akan dapat juga dipergiatkan dengan lebih terancang.
“Oleh itu, sekiranya ada lagi pemilik tanah NCR yang percaya dengan dakwaan tersebut, mereka bolehlah menyerahkan balik warta tersebut kepada kerajaan.
“Namun sehingga ke hari ini, tiada satu pun warta tersebut telah diserah balik. Ini menunjukkan bahawa penerimaan rakyat terhadap pengukuran perimeter ini adalah amat baik dan dakwaan itu ternyata satu pembohongan yang besar.
“Apa yang berlaku sebenarnya, jumlah permohonan bagi pengukuran perimeter dan pengukuran lot individu setelah kawasan tersebut diwartakan di bawah Seksyen 6 semakin meningkat,” jelasnya.
Beliau turut mendedahkan Kerajaan Sarawak memperuntukan sebanyak RM40 juta bagi tujuan pengukuran tanah NCR pada tahun 2020, manakala Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta tahun ini.
“Di samping pengukuran perimeter, fokus pengukuran tahun ini ditumpukan pada pengukuran lot-lot individu bagi kawasan yang diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut tanah tersebut.
“Setakat ini, sebanyak 34,091 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 42,265 hektar (104,436 ekar) yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri,” ujarnya.
Pada majlis itu, Awang Tengah menyampaikan 173 surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri kepada pemilik tanah di Kampung Pueh.
Oleh Zarina Abdullah