
BANGKOK: Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) Thailand dipecat selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan perjudian dan pengubahan wang haram.
Menurut polis Thailand dalam satu kenyataan, Surachate Hakparn yang berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Negara secara rasmi dipecat semalam.
Surachate atau lebih dikenali dengan gelaran ‘Big Joke’ ditahan dalam beberapa serbuan pada 2023 yang menyasarkan rangkaian perjudian dalam talian dikenali sebagai ‘Betflix’.
Beliau didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram yang dinafikan olehnya dan Surachate juga sudah digantung tugas sementara siasatan dijalankan.
Polis Thailand mendakwa, pemecatan Surachate itu selaras dengan prosedur tatatertib bagi pegawai yang sedang disiasat.
Sebahagian besar bentuk pertaruhan adalah haram di Thailand, dengan pihak berkuasa giat menutup pusat perjudian haram dan laman sesawang yang kebanyakannya dimiliki pihak asing.
Difahamkan, Surachate sudah lama berkhidmat dalam pasukan polis, dikaitkan dengan tokoh berpengaruh dalam kerajaan sebelum ini yang berpihak kepada tentera.
Beliau dilantik sebagai Ketua Biro Imigresen pada September 2018 oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prawit Wongsuwan.
Namun, Surachate menghilangkan diri pada 2019 atas sebab yang tidak jelas sebelum bekas Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-Cha melantiknya sebagai penasihat khas strategi polis pada 2021.-AFP