KEHILANGAN yang amat terasa bagi dunia hoki Sarawak. Manakan tidak, dengan ketiadaan ‘Sivasubramaniam A/L Chellapah’ yang akan kembali ke negeri kelahirannya, Kedah.
Ia berikutan keputusannya yang mahu fokus kepada keluarga di kampung halaman selepas 15 tahun menabur bakti dalam dunia sukan hoki negeri ini sejak 2005.
Sekali gus, turut memperlihatkan sentuhan hebatnya dengan kejayaan penuh bermakna membantu Sarawak meraih pingat emas bagi skuad hoki wanita ketika temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2006 yang berlangsung di Kedah Darul Aman.
“Memang berat untuk membuat keputusan ini pada awalnya kerana selama lima belas tahun berada di Bumi Kenyalang, banyak kenangan dilalui.
“Malah, saya menganggap negeri Sarawak ibarat kampung halaman kedua bagi saya,” ujar Siva ketika cuba merungkai disebalik apa yang terbuku dalam sanubarinya.
Menurut Siva, sejak mula bermastautin di Bumi Kenyalang ini dirinya tidak melihat sebarang masalah bukan sahaja dalam membentuk kredibiliti pemain atau pasukan.
Sebaliknya, sentiasa bersemangat dalam mengharungi tugas harian ketika mengemudi sesi latihan membabitkan para pemain.
“Di sini…pendekatan dilaluinya amat mencabar dan berbeza. Bayangkan, pemain yang terpilih untuk mewakili Sarawak dalam temasya dwitahunan negara datangnya dari pelbagai kawasan dan latar belakang.
“Dari situ ia menuntut kesabaran seorang yang bergelar jurulatih selain semangat juang yang tinggi,” tambah beliau.
Sambil mengakui dirinya juga tidak terkecuali turut menempuhi pelbagai situasi suka duka ketika bergelar jurulatih bagi skuad hoki wanita Sarawak.
Tegas Siva, tempoh lebih satu abad mengabadikan diri dalam mengasah bakat anak muda bagi sukan hoki wanita berjaya meletakkan negeri Sarawak dikedudukan keenam secara keseluruhan di negara ini.
“Ia merupakan satu pencapaian terbaik sekali dan apa yang membanggakan tempoh tersebut juga menyaksikan seramai 20 orang pemain yang pernag dipanggil mewakili skuad kebangsaan,” jelas beliau yang turut mengucap terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Persatuan Hoki Sarawak (SHA) atas sokongan serta kerjasama yang diberikan selama ini.
Untuk rekod, selain kejayaan tertinggi membantu meraih pingat emas pada Sukma 2006, Siva menerusi sentuhan magisnya turut berjaya mengemudi anak didiknya muncul juara Kejohanan Hoki Piala Borneo (5 kali), Kejohanan Hoki Borneo (1 kali), meraih naib juara Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun, muncul pemenang tempat ketiga sebanyak dua kali Kejohanan Hoki Bawah 15 Tahun dan banyak lagi.
Oleh Faizal Bujang