
LAWAS: Ratusan kenderaan berbaris memasuki stesen Petronas di Jalan Gaya Lawas untuk mendapatkan bekalan minyak yang terputus sejak Ahad hingga Isnin.
Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, memaklumkan bahawa sebanyak 24,000 liter minyak diesel dan 10,000 liter Primax95 telah tiba di Stesen Petronas Lawas pada 10.00 pagi tadi.
Katanya, sebuah kenderaan tangki minyak dari Depo Bintulu turut diiringi oleh ratusan kenderaan yang berbaris lebih 500 meter untuk mengisi minyak masing-masing.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan memberitahu anggota Polis Trafik dan anggota tambahan telah ditempatkan di lokasi untuk memastikan kenderaan yang memasuki Stesen Petronas Lawas tidak menghalang jalan raya di sepanjang Jalan Gaya ke Lawas Damit dan Bandar Lawas.
Tinjauan mendapati kenderaan bergerak perlahan dalam barisan panjang memasuki Stesen Petronas Lawas tanpa menjejas kelancaran lalu lintas kenderaan lainnya.
Bekalan minyak petrol dan diesel di Lawas terputus berikutan banjir yang melanda daerah Beaufort, Sabah, sejak Sabtu lalu.
Keadaan banjir di Beaufort beransur pulih dan laluan utama ke Sipitang hingga ke Lawas kini boleh dilalui kenderaan jenis pacuan empat roda.
Pihak Stesen Petronas Lawas memaklumkan bekalan petrol dan diesel dari Kota Kinabalu tidak dapat diperolehi kerana Kementerian Alam Sekitar Sabah telah mengarahkan semua lori tangki minyak ke Lawas dan Sipitang untuk tidak melalui kawasan banjir dan jalan raya yang rosak atas faktor keselamatan.
Bekalan petrol dan diesel dijangka pulih dalam masa terdekat sebaik jalan menghubungkan Beaufort ke Sipitang dan Lawas dibaiki pihak kontraktor.
Oleh Adeng Edrus