PETRA JAYA: Program Sumbangsih yang sebelum ini dianjurkan sempena Hari Raya kini akan diperluaskan bagi meraikan perayaan lain, termasuk Hari Gawai dan Tahun Baharu Cina.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, inisiatif ini merupakan tanda penghargaan kepada penjawat awam, terutamanya pasukan beruniform, yang tetap bertugas ketika perayaan.
“Kita memahami bahawa mereka terpaksa berkorban, dan berjauhan daripada keluarga demi melaksanakan tugas.
“Oleh itu, sumbangan seperti ini diharap dapat menceriakan mereka dengan juadah yang disediakan.
“Kerajaan Sarawak akan meneruskan program ini, dan setelah berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, kita bersetuju untuk memperluaskannya bukan hanya untuk Hari Raya, tetapi juga bagi sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Gawai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Simbolik Sumbangsih Raya 2025 yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Bagi merealisasikan usaha ini, Abang Johari mengumumkan peruntukan tambahan kepada Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak.
Jelasnya, ini supaya bantuan dapat disalurkan kepada agensi dan pasukan penguat kuasa yang bertugas semasa perayaan tersebut.
“Kerajaan Sarawak akan menyalurkan peruntukan tambahan bagi memastikan program ini dapat dijayakan,” tambahnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak yang akan mengambil tanggungjawab tambahan untuk menyediakan pek makanan sempena Tahun Baharu Cina dan Hari Gawai Dayak, sambil berharap inisiatif ini dapat memperkukuhkan keharmonian masyarakat serta memberikan makna lebih mendalam kepada perayaan bagi mereka yang bertugas.
Oleh Amanda L.