
DARO: Dulu 500, kini 1,000 pipus sehari! Stok ikan pun tak cukup!
Begitulah perubahan drastik yang dilalui peniaga kecil di Daro selepas pembukaan penuh Jambatan Batang Lassa yang menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan.
Tantyana Kabis, 37, peniaga pipus dari Kampung Badong Daro, berkata pembukaan jambatan itu memberi lonjakan luar biasa kepada perniagaannya yang sebelum ini hanya laris pada musim perayaan.
“Saya telah menjalankan perniagaan pipus ini sejak 2011 secara kecil kecilan di pinggir jalan.
“Sebelum adanya jambatan, saya hanya mampu menjual sekitar 500 keping pipus sehari, kini lebih 1,000 keping habis terjual setiap hari.
“Stok ikan seperti gonjeng dan pirang pun tidak mencukupi walaupun saya sudah menyimpan bekalan dalam tujuh peti sejuk beku,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Pipus, makanan tradisional masyarakat Melanau, merupakan isi ikan yang dibalut menggunakan daun nipah sebelum dipanggang di atas bara api sehingga masak.

Kini, hidangan warisan itu semakin dikenali dan menjadi pilihan utama pengunjung ke Daro.
Menurut Tantyana, akses yang lebih mudah ke Daro menjadi faktor utama lonjakan jumlah pelanggan.
Jika sebelum ini perjalanan dari bandar seperti Sibu dan Sarikei mengambil masa antara empat hingga enam jam, kini ia hanya mengambil masa satu setengah hingga dua jam sahaja.
“Dulu orang hanya datang ke Daro pada musim perayaan atau hujung minggu. Sekarang, pelanggan kami bertambah hampir setiap hari, termasuk dari luar kawasan.
“Ada yang sanggup datang dari Kuching dan Bintulu semata-mata untuk membeli pipus,” katanya.
Namun, di sebalik rezeki yang semakin melimpah, Tantyana mengakui ada cabaran baharu yang perlu dihadapi, terutama dalam mendapatkan bekalan ikan segar.
“Permintaan tinggi menyebabkan harga ikan naik. Nelayan sekitar Pulau Bruit dan Daro kini berdepan persaingan kerana ramai pembeli dari luar datang membeli terus dari mereka.
“Peniaga pipus juga semakin bertambah, jadi bekalan ikan semakin terhad,” jelasnya.
Biarpun berdepan saingan, Tantyana melihat perkembangan itu sebagai sesuatu yang positif kerana ia membantu memperkenalkan pipus ke peringkat lebih luas.
“Saya berharap makanan tradisi ini mendapat lebih banyak publisiti dan dapat dipasarkan ke seluruh Sarawak, malah ke seluruh Malaysia.
“Seperti kata pepatah, ‘rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari’, kami mahu manfaatkan peluang ini untuk kembangkan perniagaan,” katanya penuh harapan.
Sementara itu, Tantyana turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak kerana menyediakan infrastruktur yang memudahkan pergerakan penduduk dan memperkasa ekonomi tempatan.
“Dengan adanya Jambatan Batang Lassa, saya yakin Daro akan terus berkembang maju, bukan sahaja dari segi pembangunan tetapi juga dalam sektor ekonomi dan keusahawanan.
“Kami sebagai peniaga kecil amat bersyukur dengan kemajuan ini,” katanya.
Justeru, perubahan ini jelas menggambarkan bahawa Jambatan Batang Lassa bukan sekadar konkrit dan besi, tetapi nadi baharu bagi rakyat Daro.
Ini bukan hanya tentang ekonomi pipus yang melonjak, tetapi juga tentang harapan, kemajuan, dan masa depan anak-anak di daerah ini.
Oleh Tarani Lanting