





KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi, malam tadi menghadiri majlis bersungke di sebuah hotel di sini.
Majlis yang penuh keberkatan ini turut dihadiri Tengku Syarif Laksamana Perlis, Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail bersama isteri, Tengku Puan Laksamana Perlis, Dato’ Paduka Sharifah Hishmah Shahabudin.
Turut hadir ialah Hakim Mahkamah Rayuan, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh bersama isteri, To’ Puan Intan Baizura Wahab; bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun bersama isteri, Puan Sri Simla Bibi Abdul Ghani; Tan Sri Effendy Norwawi dan isteri, Puan Sri Tiara Jacquelina; Tan Sri Johan Jaafar; Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, serta tetamu kenamaan lain yang turut menyerikan majlis.
Sebelum menikmati hidangan berbuka puasa, Tun Pehin Sri dan Toh Puan bersama para jemputan berkesempatan menunaikan solat Maghrib secara berjemaah yang dipimpin oleh Mohd. Rusydi Wan Yusup.
Lebih daripada sekadar majlis berbuka puasa, pertemuan ini turut menjadi wadah bermakna bagi Tun Pehin Sri untuk bertemu semula dengan bekas pegawai dan kakitangan yang pernah berkhidmat di bawah kepimpinan beliau dari pelbagai kementerian dan agensi, termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, serta Parlimen Malaysia.
Sebelum berangkat pulang, Tun Pehin Sri dan Toh Puan turut meluangkan masa beramah mesra serta bergambar bersama para tetamu.
Kehadiran mereka bukan sahaja menyemarakkan suasana majlis, malah mengeratkan ukhuwah serta mengimbau kembali kenangan yang pernah dikongsi bersama.