Jalan Miri-Marudi ditutup sementara esok

Facebook
WhatsApp
JALAN TUTUP… Jalan Miri-Marudi akan ditutup sementara esok (6 Mac) bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan jambatan dijalankan.

MIRI: Jalan Miri-Marudi akan ditutup sementara esok, 6 Mac bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan jambatan dijalankan.

Pengumuman tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak melalui hantaran notis di Facebook rasminya, semalam.

Katanya, penutupan sementara itu akan bermula dari 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang.

“Penutupan jalan itu adalah bagi membolehkan pembaikan dan penggantian plat berkotak keluli yang rosak.

“Susulan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka lebih awal kerana penutupan jalan sepenuhnya akan melewatkan perjalanan mereka,” katanya.

Pada masa sama, orang ramai turut dinasihatkan untuk mematuhi peraturan lalu lintas di zon kerja, memandu dengan berhati-hati dan menjaga jarak yang selamat.

Oleh Adum Liu