
BINTULU: Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG) tampil menghulurkan bantuan kepada prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Bintulu menerusi Program Memacu Kehidupan Bantuan Bencana bagi membantu proses pemulihan pascabanjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming menzahirkan penghargaan atas inisiatif tersebut dan menekankan kepentingan sokongan kepada sekolah yang terkesan agar pemulihan berjalan lancar.
“Program ini sangat bermakna kerana bukan sahaja memberikan bantuan, tetapi juga memastikan murid-murid mendapat persekitaran pembelajaran yang lebih selesa.
“Terima kasih kepada MLNG dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini.
“Semangat keprihatinan dan tanggungjawab sosial seperti ini amat saya hargai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat MLNG, Mohamed Syazwan Abdullah @ Laga Jenggi, kepada Guru Besar SK Bintulu, Mohamed Khaidir Mohamed Arebi di SK Bintulu hari ini.
Johnny Pang berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban sekolah dan memberi manfaat kepada murid-murid.
“Saya akan terus menyokong usaha seperti ini demi kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.
Selain SK Bintulu, prasekolah SK Sungai Tisang yang turut terjejas akibat banjir baru-baru ini juga menerima sumbangan yang sama.
Antara sumbangan yang diberikan termasuk meja dan kerusi murid serta guru, dapur kabinet, tikar getah, mesin pencetak, rak kasut, kipas, dapur gas, cerek elektrik, dan periuk nasi.
Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen MLNG dalam membantu komuniti setempat melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), dengan harapan dapat mempercepat pemulihan sekolah yang terjejas serta memastikan sesi pembelajaran berjalan lancar dalam persekitaran yang lebih baik.
Oleh Carolyne Utih