GEDONG: Peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawakak akan membantu mempercepatkan proses pembangunan di kawasan-kawasan parlimen negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata ia juga untuk manfaat rakyat bagi menikmati pembangunan yang disediakan kerajaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata sebelum ini, banyak projek di kawasan seliaan beliau telah diambilalih dan diteruskan Kerajaan Negeri.
“Apabila kita sudah bersama Kerajaan Perikatan Nasional (PN), Kerajaan Persekutuan banyak meluluskan projek yang kita sarankan.
“Justeru, kita memerlukan penyelarasan kerana kita sudah ada peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, dan kedua-dua peruntukan termasuk dari Kerajaan Negeri ini nanti akan kita gunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas memantau dan meninjau perkembangan projek siap, sedang dilaksanakan serta yang dicadangkan di Zon Punggor di Gedong, Simunjan, semalam.
“Maka dengan adanya kedua-dua peruntukan ini, ia akan membantu mempercepatkan lagi proses pembangunan khususnya di kawasan Batang Sadong,” jelasnya.
Antara projek yang dilawat beliau adalah naiktaraf ban di Kampung Benat di bawah peruntukan IRSDA bagi tahun 2020 dan cadangan bina baru dataran kejat termasuk perparitan di Kampung Lubok Punggor.
Beliau turut meninjau projek siap jalan berturap Kampung Sungai Ba serta bina baru Surau Lubok Samsu.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Lubok Samsu, Wan Hasbi Wan Ismail berkata pihaknya kini mampu menarik nafas lega setelah penantian beberapa tahun untuk pembinaan baharu surau di kampung itu, berakhir tidak lama lagi.
Oleh Zarina Abdullah