KUCHING: Mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan adalah norma baharu di kalangan pelanggan di pasar Kuching City Mall.
Setelah tiba di satu-satunya pintu masuk, mereka diambil suhu badan oleh anggota RELA yang bertugas dan merekodkan butir kehadiran pelanggan di dalam buku rekod atau menggunakan aplikasi.
Keadaan pelanggan juga tidak sesak di pasar yang mempunyai 115 gerai yang menjual semua jenis buah-buahan, sayur-sayuran, hasil hutan, kek, daging dan ikan.
Ini adalah pemandangan yang disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Sri Dr.Sim Kui Hian dalam tinjauan dan lawatan mereka di pasar jalanan Kuching City Mall, di sini, semalam.
Kehadiran mereka adalah untuk memeriksa kepatuhan SOP yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam perjuangan berterusan melawan pandemik Covid-19.
Turut serta Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Datuk Ahmad Datuk Seri Ibrahim dan setiausaha Elizabeth Loh.
Uggah yang juga Pengerusi JPBNS dan Dr Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah mengambil kesempatan berbual dengan penjaja untuk menanyakan keadaan perdagangan dan juga mendengar rungutan daripada mereka.
Pasar tersebut beroperasi dari 12.00 tengah hari hingga 6.00 petang setiap hari sekarang, manakala sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia adalah pasar malam.
Selain itu, pasar itu juga menampung beberapa penjaja dari pasar jalanan baru MJC Batu Kawah dan beroperasi pada setiap hari Khamis dan Jumaat.
Menurut Dr Sim, ini kerana pasar jalanan MJC lebih besar dan sangat popular di kalangan orang ramai dan situasi seperti penjarakan sosial akan sangat sukar dilaksanakan.
“Buat masa ini, kami belum memutuskan bila harus memulakan operasinya,” katanya.