PUTRAJAYA: Pelajar tingkatan satu hingga empat dan pelajar kelas peralihan serta murid tahun lima dan enam akan kembali ke sekolah bermula 15 Julai ini.
Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata pembukaan semula sekolah bagi murid tahun satu hingga empat pula adalah pada minggu berikutnya iaitu 22 Julai.
“Tarikh pembukaan semula sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media khas yang disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen televisyen tempatan, semalam.
Katanya, pembukaan semula sekolah untuk murid bukan kelas peperiksaan awam itu dilaksanakan secara berperingkat setelah mengambil kira saranan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurut Mohd Radzi, semua institusi pendidikan swasta di bawah kategori pusat yang berdaftar dengan KPM termasuk pusat tuisyen, bahasa dan pusat perkembangan juga boleh dibuka semula pada 15 Julai.
Beliau juga memaklumkan keputusan penawaran kemasukan calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 ke tingkatan enam semester 1 tahun 2020 boleh disemak mulai semalam melalui portal kementerian. Calon lepasan SPM terbabit juga akan mendaftar pada 15 Julai.
Sementara itu, Mohd Radzi berkata KPM melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian atau kaedah lain yang bersesuaian sepanjang hampir empat bulan bagi memastikan lebih 5.7 juta pelajar yang tidak hadir sekolah ekoran pandemik Covid-19 dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya sedar terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian kerana kaedah Home-Based Learning adalah sesuatu yang baharu dalam kalangan guru, pelajar dan ibu bapa.
“Selain itu, ramai dalam kalangan murid tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana akses kepada teknologi komunikasi yang terhad. Ini menyebabkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan Home-Based Learning agak terhad jika dibandingkan dengan kaedah secara bersemuka,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata KPM telah mengambil kira keperluan untuk mengatur semula pelbagai aspek logistik bagi mengadakan peperiksaan SPM 2020 yang dijadualkan bermula pada minggu pertama Januari 2021.
Beliau berkata ini termasuk memperincikan tarikh permulaan sesi persekolahan 2021 bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun berkenaan berjalan lancar.
Perkara ini akan dimuktamadkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021, katanya.
Menurutnya, KPM perlu menyusun pendekatan dan kaedah di luar kebiasaan bagi mendepani isu-isu yang timbul susulan penularan pandemik Covid-19.
“Untuk membuat keputusan yang kompleks sebegini, kami perlu merancang dengan teliti. Kami mesti melihat secara menyeluruh dalam jangka masa sederhana dan jangka masa panjang.
“Perancangan yang dibuat tidak boleh hanya tertumpu untuk tahun ini sahaja. Ini kerana kesan pandemik Covid-19 kepada sektor pendidikan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat.
“Apa yang menjadi keutamaan ialah memastikan murid mempunyai tempoh pembelajaran yang mencukupi sebagai persediaan untuk tahun berikutnya,” katanya.– BERNAMA