MIRI: Sepanjang tahun lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Miri melaksanakan sebanyak 130 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di sini.
Bagi tahun ini, hingga Februari lepas sebanyak 26 PJRM telah dilaksanakan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting berkata PJRM merupakan salah satu inisiatif kerajaan membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup dengan mengadakan pengurangan harga barangan keperluan asas antara 10 peratus hingga 30 peratus dengan kerjasama rakan strategik.
“PJRM sangat membantu rakyat dalam mendapatkan barangan asas pada harga lebih rendah.
“Saya berharap inisiatif ini dapat diteruskan dengan lebih kerap di Miri agar lebih ramai penduduk mendapat manfaatnya,” katanya semasa ‘turun padang’ meninjau sendiri pelaksanaan PJRM di Pasar Raya SL Speedmart di Ocean Park di sini, hari ini.
Program yang berlangsung selama dua hari itu mendapat sambutan yang menggalakkan apabila ramai pengunjung berpusu-pusu ke pasar raya tersebut bagi mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.
Sebanyak 22 jenis barangan keperluan menjadi keutamaan pada PJRM, termasuk minyak masak, beras, daging dan telur yang dijual pada harga lebih berpatutan. Turut hadir, Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin dan Ketua Cawangan KPDN Miri, Thomas Chua Kee Chuan.
Oleh Liong Chai Ling