KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) terus melaksanakan peranan yang dimandatkan kerajaan untuk menggalakkan amalan menyimpan melalui pelbagai inisiatif serta produk dengan ciri-ciri simpanan menguntungkan seperti BSN SSP walaupun usaha menangani pandemik Covid-19 belum berakhir.
Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata selain itu BSN berusaha untuk terus membantu rakyat Malaysia memanfaatkan pelbagai kemudahan yang tersedia dengan sebaik mungkin.
Sementara itu, BSN meneruskan pencarian pemenang Cabutan BSN SSP bagi Jun 2020 termasuk pemenang bagi Cabutan Khas Kesetiaan serta jutawan keenam BSN SSP untuk 2020.
Ia berkata Cabutan Khas Kesetiaan diadakan setiap tiga bulan sekali iaitu pada Mac, Jun, September dan Disember 2020 serta terbuka kepada penyimpan yang mempunyai BSN SSP dengan simpanan minimum RM10 untuk tempoh simpanan minimum lima tahun dan ke atas.
BSN juga mengadakan Cabutan Khas Generasi Z yang telah menyaksikan dua pemenang meraih hadiah utama (istimewa) berupa simpanan tunai dalam bentuk BSN SSP bernilai RM25,000.
Cabutan ini diadakan setiap tiga bulan sekali iaitu pada Mac, Jun, September dan Disember 2020.
“Ganjaran ini diharapkan dapat membantu membiayai perbelanjaan pendidikan para pemenang pada masa akan datang,” kata BSN.
Bank itu turut mengumumkan pemenang Cabutan BSN SSP Mei 2020 tanpa kehadiran para pemenang dan orang awam bagi mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh kerajaan.
Bagaimanapun, acara tersebut disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi BSN, Facebook Live.
Senarai para pemenang boleh disemak di laman sesawang BSN www.mybsn.com.my atau laman Facebook BSN @ BSNMalaysia. – Bernama