KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta masyarakat memberikan kerjasama kepada semua petugas barisan hadapan kerajaan dan tidak membuat provokasi mahupun mencabar dalam usaha menyekat penularan wabak COVID-19.
Presidennya Adnan Mat dalam satu kenyataan semalam berkata pihaknya menerima aduan masih terdapat segelintir pihak yang ingkar arahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Janganlah kita sengaja mencabar kesabaran petugas barisan hadapan. Kurangkan provokasi seolah-olah mahu melanggar undang-undang dan mencabar kesabaran petugas barisan hadapan. Ramai juga yang didapati mengeluarkan kata-kata jelek kepada anggota penguat kuasa yang bertugas.
“Malah ada yang membuat hantaran mencabar pihak berkuasa di media sosial hanya kerana tidak puas hati dengan tindakan anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata sebagai rakyat tidak kira pangkat, kedudukan atau status mereka perlu memberi kerjasama yang baik dan berlapang dada terhadap anggota penguat kuasa (supaya mereka boleh) menjalankan tugas sebaiknya.
Beliau berkata rakyat perlu tahu bahawa petugas kerajaan di barisan hadapan seperti polis dan tentera bertugas 24 jam secara giliran untuk memastikan keadaan negara terkawal.
Sementara itu, CUEPACS, katanya berharap setiap ketua jabatan yang terlibat membuat pertimbangan sewajarnya sebelum meletakkan kesalahan di bahu penjawat awam semata-mata.
“Elakkan daripada mengeluarkan kenyataan atau mengambil tindakan yang boleh melunturkan motivasi kerja pejawat awam,” katanya.
Beliau berkata sokongan ketua jabatan amat diperlukan dalam situasi penjawat awam yang berhadapan tekanan kerja tinggi ketika ini.– Bernama