MANCHESTER City yang jelas kehilangan status juara bertahan Liga Perdana membelasah Liverpool 4-0 di Etihad, awal pagi semalam.
City memberi amaran untuk merampas penguasaan musim depan menerusi Kevin De Bruyne, Raheem Sterling dan Phil Foden yang meledak jaringan sebelum rehat sekali gus mencetuskan kekalahan ketiga Liverpool dalam 71 perlawanan.
Jaringan sendiri Alex Oxlade-Chamberlain melengkapkan malam derita Jurgen Klopp yang bernasib baik tidak dibolosi lebih banyak gol pada babak kedua.
Jurang kedua-dua pasukan kekal 20 mata tetapi misi Liverpool untuk memperbaiki rekod City dua tahun lalu sedikit terjejas dengan kekalahan itu.
Sebelum perlawanan City memberikan penghormatan kepada lawan yang beraksi kali pertama selepas dinobatkan juara baharu Liga Perdana dalam tempoh 30 tahun.
Bagaimanapun, Liverpool lebih garang mengasak pertahanan City pada awal babak pertama.
Malah, percubaan Mohamed Salah terkena tiang dan tandukan Sadio Mane juga turut tersasar dari palang gol.
Segelintir penyokong Liverpool membakar mercun dan bunga api di luar stadium tetapi di atas padang, City yang kembali menemui rentak meledak tiga gol dalam tempoh 20 minit.
Di sebalik penguasaan Liverpool sebagai satu pasukan, De Bruyne lebih menyerlah musim ini dengan pelawat bergelut mengekang pergerakannya di bahagian tengah.
Jaringan ke-13 De Bruyne musim ini menerusi penalti pada minit ke-25 selepas Joe Gomez mengasari Sterling.
Sterling diberi amaran keras oleh pengurus England, Gareth Southgate selepas dia bertelagah dengan Gomez di kafeteria pada hari tugasan antarabangsa sehari selepas Liverpool menang 3-1 di Anfield, awal musim ini.
Penyerang City itu menjaringkan gol kedua yang juga jaringan pertamanya dalam aksi kompetitif menentang bekas kelab lamanya menerusi rembatan hasil serangan balas pantas.
Foden pula semakin menyerlah sejak Liga Perdana kembali bersambung dan keputusan Pep Guardiola menurunkan pemain berusia 20 tahun itu berbaloi apabila kombinasinya bersama De Bruyne menghasilkan gol ketiga sejurus sebelum tamat babak pertama.
Andy Robertson terpedaya dengan permainan satu dunia Foden dan De Bruyne sebelum pemain Bawah 21 England itu tenang menewaskan Alisson Becker.
Tetapi ketangkasan penjaga gol Brazil itu menyelamatkan Liverpool daripada ditimpa aib lebih besar pada awal babak kedua.
Rembatan Gabriel Jesus tepat kepada rakan sepasukan antarabangsanya, percubaan Sterling tersasar dan Virgil van Dijk menyelamatkan bola di atas garisan hasil percubaan Foden.
Bagaimanapun, asakan berterusan City menghasilkan gol keempat juga hasil usaha De Bruyne yang menghantar bola kepada Sterling.
Rembatannya kemudian tertampan ke gol sendiri oleh Oxlade-Chamberlain.
Mahrez tidak bernasib baik apabila jaringannya pada masa kecederaan dibatalkan VAR sekali gus menyelamatkan Liverpool daripada tewas 0-5 sama seperti dialami di Etihad pada 2017. -AFP