
SIBU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi hukuman denda RM12,000 atau penjara tiga bulan ke atas seorang pemandu setelah mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol.
Pesalahan trafik dikenali sebagai Wong King Meing, 53, juga dijatuhi hukuman penjara sehari oleh mahkamah, dimana hukuman penjara bermula dari tarikh sabit kesalahan.
Sebagai tambahan, tertuduh juga dilarang memiliki sebarang lesen memandu selama tempoh dua tahun berkuatkuasa dari tarikh sabit kesalahan mengikut Seksyen 45A(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mengikut pertuduhan, Wong yang menandu sebuah kenderaan pacuan empat roda didakwa memandu kenderaan tersebut di bawah pengaruh alkohol pada 24 Januari 2025, lebih kurang 11.25 malam di Jalan Channel.
Semasa diperiksa, kandungan alkohol dalam badan tertuduh adalah 90MG/100ML, melebihi kadar yang dibenarkan iaitu 50MG/100ML.
Sehubungan itu, dia telah melakukan kesalahan yang dihukum di bawah Seksyen 45A(1) APJ 1987, dimana sabit kesalahan hendaklah dipenjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000, selain dilarang memiliki atau mengambil lesen memandu bagi tempoh tidak kurang dua tahun dari tarikh sabit kesalahan.
Sementara bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, penjara tidak lebih lima tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, selain dilarang memiliki lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabit kesalahan.
Oleh Akun Giman