
KUCHING: Unit Pembangunan Sosio-Ekonomi Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dengan kerjasama Rambungan Marine Aquaculture telah mengadakan sesi libat urus bersama peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Pustaka Negeri Sarawak, hari ini.
Program ini bertujuan meneroka potensi akuakultur lestari sebagai salah satu cara untuk menjana peluang ekonomi bagi usahawan dalam kalangan golongan B40.
Selain menyediakan latihan, inisiatif ini turut merangkumi pelbagai bentuk sokongan, termasuk kemudahan, bantuan kewangan, dan akses pasaran bagi memastikan peserta mampu menjadikan akuakultur sebagai sumber pendapatan yang mampan serta berdaya saing.
Melalui sokongan menyeluruh ini, program tersebut bukan sahaja membantu peserta mencapai kestabilan kewangan, malah memperkukuh industri tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Dengan bimbingan serta latihan kemahiran yang tepat, IPR-INTAN berperanan dalam membangunkan komuniti yang lebih berdikari selain memastikan sektor akuakultur di Sarawak berkembang secara lestari dan kompetitif.- UKAS