
SARIBAS: Pembinaan Dewan Seri Saribas Kampung Manggut dengan kos sebanyak RM600,000 menggunakan peruntukan program transformasi luar bandar (RTP) telah siap sepenuhnya pada Januari lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata dengan siapnya pembinaan dewan tersebut, ia bakal merancakkan lagi kegiatan perpaduan dan kemasyarakatan dalam komuniti penduduk Kampung Manggut dan sekitarnya.

“Dengan terbinanya sebuah dewan yang luas dan serba lengkap itu akan membolehkan komuniti setempat lebih selesa dalam menganjurkan aktiviti berkaitan yang bermanfaat termasuk majlis formal, kenduri kahwin dan sebagainya.
“Ia terserah kepada pihak pengurusan dewan iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Manggut selepas ini sama ada berhasrat untuk mengenakan sebarang bayaran atau cas kepada pihak yang berhasrat untuk menggunakan dewan tersebut kelak asalkan kadar sewanya nanti adalah berpatutan dan tidak membebankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Dewan Seri Saribas di Kampung Manggut, semalam.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu berharap agar dewan ini dijaga dengan sebaik mungkin selepas ini untuk manfaat semua masyarakat.
Dalam perkembangan lain, Razi turut mengumumkan bahawa Tebingan Sungai Kampung Manggut juga akan dinaik taraf dimana projek dijangka akan bermula sama ada pada tahun ini atau tahun hadapan bagi memberikan lebih keselesaan kepada para pengunjung yang hadir bagi menyaksikan penganjuran Pesta Buntal.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak berkuasa tempatan ada mengemukakan cadangan agar tebingan sungai kita disini dinaik taraf pada penganjuran Pesta Buntal tahun lepas.
“Ia adalah bagi memberi keselesaan kepada orang ramai atau pengunjung yang hadir menyaksikan penganjuran Pesta Buntal yang mana saya jangkakan projek ini akan bermula pada tahun ini atau selewat-lewatnya tahun hadapan,” jelasnya.
Oleh Adi Saparman