
Reaksi kecewa pemain Arsenal Kieran Tierney dan Leandro Trossard selepas tamat perlawanan menentang Nottingham.
NOTTINGHAM: United Kingdom: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui pasukannya kekurangan kreativiti untuk menembusi pertahanan Nottingham Forest ketika seri 0-0 awal pagi tadi yang menjejaskan lagi usaha mereka memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pilihan penyerang Arteta terjejas teruk akibat kecederaan dengan Bukayo Saka, Gabriel Martinelli, Gabriel Jesus dan Kai Havertz semuanya terpaksa diketepikan.
Arsenal juga gagal menjaringkan gol ketika tewas mengejut 0-1 di tempat sendiri kepada West Ham pada Sabtu lalu dan anak buah Arteta kini ketinggalan 13 mata di belakang Liverpool.
Arsenal masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan berbanding Liverpool tetapi harapan mereka untuk merangkul gelaran pertama dalam tempoh 21 tahun semakin pudar.
Mikel Merino bertindak sebagai penyerang tengah sementara dan satu-satunya pemain yang melakukan percubaan tepat menerusi tandukan yang diselamatkan Matz Sels pada awal separuh masa kedua.
“Kami menguasai permainan dan mencuba dengan pelbagai cara. Kami berusaha tetapi kekurangan idea dan kreativiti untuk merobek pertahanan lawan,” kata Arteta. “Kami perlu menghasilkan lebih banyak percubaan tepat ke arah gol.”
Arteta sebelum perlawanan berkata dia tidak akan menyerah kalah dalam perlumbaan memburu gelaran liga dan sekali lagi enggan mengakui cabaran pasukannya sudah berakhir.
“Ia sama seperti seminggu yang lalu, dua minggu atau tiga bulan yang lalu. Satu-satunya perkara yang boleh kami lakukan adalah memenangi perlawanan dan melihat berapa banyak mata kami dapat,” tambahnya.
Satu mata memastikan Forest kekal di tempat ketiga, mengatasi juara bertahan Manchester City. – AFP