


ROBAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ketiga hari ini masih menemui jalan buntu apabila masih gagal menemui warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar dari kediamannya di Rumah Luang, Empaong, di sini, dua hari lalu.
Menurut Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, operasi SAR yang bermula 10.20 pagi hari ini meliputi radius pencarian sekitar dua kilometer dari tempat mangsa terakhir kali dilihat.
“Anggota bomba membuat pencarian merata tempat teknik sepanjang laluan jalan hutan ke Pekan Roban.
“Selain itu, operasi SAR turut menumpukan pencarian di kawasan kebun getah mangsa dan kawasan sekitar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, katanya operasi SAR masih tidak menemui sebarang petunjuk hingga operasi ditamatkan pada pukul 5 petang tadi.
Operasi SAR hari ketiga melibatkan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan 15 orang penduduk rumah panjang.
Pada 23 Februari lalu, mangsa yang dikenali sebagai Kamoi Paun, 69, dilaporkan keluar berjalan kaki dari kediamannya ke Pasar Roban.
Menurut maklumat yang diterima daripada ahli keluarganya, mangsa dilaporkan tidak balik hingga keesokan pagi sebelum laporan dibuat pada hari sama iaitu 24 Februari.