KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan memperkenalkan tujuh teknologi baharu kepada pemain industri itu dalam Seminar Pemindahan Teknologi MPOB (Webinar TOT 2020) yang akan diadakan secara dalam talian pada 7 Julai ini.
Ketua Pengarahnya, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pengkomersialan teknologi baharu itu bertumpu kepada kedua-dua industri huluan dan hiliran.
“Pada seminar ini, kami akan memperkenalkan beberapa teknologi baharu untuk diguna pakai oleh industri atau sesiapa sahaja yang berminat untuk menambah pendapatan,” katanya dalam sesi temu bual program Biz Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia, semalam.
Dr. Ahmad Parveez berkata, sehingga kini, MPOB telah menghasilkan 667 teknologi dengan 30 peratus daripadanya telah dikomersialkan dengan nilai pasaran berjumlah RM3.5 bilion.
Justeru katanya, MPOB mahu terus meningkatkan teknologi baharu yang berupaya memacu perkembangan industri sawit dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Kita akan menghasilkan teknologi di peringkat huluan untuk meningkatkan hasil tanaman, kemudian proses di kilang untuk kecekapan penghasilan dan mengelak pembaziran.
“Seterusnya, industri hiliran seperti penghasilan marjerin, kosmetik, santan yang apabila teknologi ini digunakan oleh pemain industri, mereka akan mendapat nilai yang lebih tinggi daripada minyak sawit yang digunakan,” katanya.
Katanya MPOB kini mempunyai lebih 80 saintis dan giat menjalankan kerjasama penyelidikan di dalam dan luar negara untuk berkongsi kepakaran dalam industri ini. – Bernama