KUALA LUMPUR: Agrobank akan terus berusaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak selain memastikan mereka dapat menjana pendapatan lebih baik khususnya ketika pasaran global dan tempatan terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19.
Menerusi kenyataan bank itu semalam, Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, 70 peratus cawangan bank pembangunan pertanian itu terletak di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, ini sekali gus memudahkan komunikasi dan perundingan di antara pengusaha PKS dengan pegawai Agrobank mengenai perniagaan dan pengurusan aliran tunai.
“Ini adalah sebahagian inisiatif kami untuk memastikan lebih banyak pelanggan terus berjaya dalam perniagaan tani mereka,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Khadijah berkata demikian semasa sesi kedua bertajuk ‘Covid-19 – Pemulihan dan Pemerkasaan Perniagaan PKS’ di Dialog SME Sarawak yang bersiaran di laman media sosial rasmi Agrobank baru-baru ini sempena Bulan PKS Agrobank.
Antara ahli panel dalam sesi itu ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais, Felo Akademi Sains Malaysia, Dr. Madeline Berma, dan Pengasas GrasiCili, Munir Ashim Abdullah.
Khadijah berkata, Agrobank menyambut baik pengumuman Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkenaan Dana Skim Kredit Mikro bernilai RM350 juta sebagai bantuan kepada usahawan tani yang terjejas berikutan Covid-19.
“Suntikan dana ini diharap dapat membantu usahawan PKS sekali gus memberi ruang kepada mereka untuk lebih merancang pelan strategik perniagaan sepanjang tempoh moratorium ini.
“Diharapkan agar PKS mampu mengembangkan perniagaan mereka bukan sahaja pada tahap mampu sara diri malah ke arah perniagaan korporat. Ini pastinya sentiasa menjadi aspirasi kami di Agrobank dalam memastikan kejayaan usahawan kami,” katanya.
Datuk Amar Awang Tengah pula berkata, di Sarawak, kerajaan telah melaksanakan tiga pakej bantuan khas ‘Sarawakku Sayang’ bagi 28 jenis bantuan termasuk kepada PKS dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.55 bilion.
“Antara bantuan khas yang diberikan kepada PKS adalah pengecualian bayaran yuran permit dan lesen perniagaan di bawah pihak berkuasa tempatan dan beberapa agensi perkhidmatan lain, penangguhan bayaran pembiayaan selama enam bulan serta pengecualian pembayaran kadar keuntungan bagi industri kecil dan sederhana dan mikro kredit Sarawak,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Terminal Perindustrian Dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, kerajaan negeri juga menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak yang bertujuan merancakkan dan memperkasakan pembangunan ekonomi dalam jangka panjang.- Bernama