
SPAOH: Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Betong (PSKB) telah melaksanakan satu program gotong-royong di kediaman seorang warga emas yang memerlukan bantuan iaitu Haliah Nu di Kampung Bungin, hari ini.
Program ini bertujuan membersihkan kediaman warga emas terbabit dengan aktiviti membuang sampah dan peralatan yang tidak digunakan lagi, serta memastikan rumah tersebut lebih selesa dan teratur.
Selain daripada kerja-kerja pembersihan, ahli PSKB turut menyumbangkan beberapa keperluan asas seperti tikar getah, tilam baharu dan bantuan makanan untuk Haliah.
Bantuan ini memberikan keselesaan kepada warga emas itu dan memastikan beliau mendapat perhatian yang sewajarnya, selaras dengan usaha menyokong golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan individu yang terlantar sakit.

Menurut Pengerusi PSKB, Abang Suhaimi Abang Mohamad berkata program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga emas tersebut, tetapi juga bertujuan untuk menjalin hubungan yang lebih erat antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada di kampung-kampung sekitar Saribas dan Bahagian Betong.
“Kerjasama ini amat penting untuk membina komuniti yang peka dan prihatin terhadap keperluan mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam ketika dihubungi turut memberi respon positif terhadap program ini.


“Saya sangat berterima kasih dan bangga dengan inisiatif yang diambil oleh PSKB. Program seperti ini amat penting untuk memastikan golongan yang memerlukan seperti warga emas sentiasa mendapat sokongan.
“Semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh sukarelawan ini juga amat dihargai kerana ia bukan sahaja meringankan beban penerima, tetapi juga memperkukuhkan hubungan sesama kita dalam komuniti,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas.
Program gotong-royong ini jelas menunjukkan komitmen masyarakat untuk membantu mereka yang memerlukan, serta mengeratkan kerjasama antara NGO dan masyarakat setempat.
Ia juga memberi harapan bahawa lebih banyak inisiatif seperti ini akan dijalankan untuk memastikan kesejahteraan seluruh lapisan masyarakat.
Oleh Adi Safarman