

KUCHING: Mahkota FC mencipta sejarah apabila muncul juara Liga Bandaraya King ZZ United musim 24/25 dengan rekod tanpa kalah, sekali gus membuktikan dominasi mereka dalam saingan bola sepak tempatan.
Kejuaraan ini disahkan selepas Mahkota FC mencatat keputusan seri 0-0 menentang Mix Hajiba dalam perlawanan terakhir liga, malam tadi.
Dengan keputusan itu, Mahkota FC menamatkan saingan dengan 49 mata, mengatasi Mix Hajiba yang berada di tempat kedua dengan 48 mata, sementara Tasori menduduki tempat ketiga dengan 44 mata.
Mahkota FC membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, sementara naib juara Mix Hajiba menerima RM3,500, dan Tasori di tempat ketiga memperoleh RM3,000.
Liga Bandaraya King ZZ United musim ini bermula sejak September 2024, dan ini merupakan penyertaan kali kedua Mahkota FC dalam kejohanan tersebut.
Mahkota FC mempamerkan aksi luar biasa sepanjang musim, tidak mengalami sebarang kekalahan dalam semua perlawanan liga.
Bintang Mahkota FC, Syazwan Rahmatullah, muncul sebagai penjaring terbanyak pasukan dengan 32 gol, manakala penjaga gol utama, Fareez Hasyim, diiktiraf sebagai penjaga gol terbaik liga atas aksi cemerlangnya menjaga gawang selepas hanya bolos sebanyak lapan jaringan.
Pengurus pasukan, Azlan Merikan, menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil kerja keras pemain dan sokongan padu daripada semua pihak.
“Kejayaan ini adalah kurniaan Allah atas usaha keras yang ditunjukkan oleh semua pemain. Usaha ini terbukti apabila Mahkota FC menyelesaikan liga tanpa kalah.
“Terima kasih kepada semua pemain, penaja, ahli keluarga, dan penyokong Mahkota,” katanya kepada Utusan Sarawak, hari ini.
Dalam pada itu, Mahkota FC turut diperkuatkan oleh Zamri Morshidi, bekas tonggak utama Sarawak FA dari 2005 hingga 2014.
Mahkota FC ditubuhkan pada 2020 dengan tujuan asal hanya untuk mengumpulkan rakan-rakan sekolah lama, sebelum mula menyertai kejohanan dan pertandingan secara serius pada 2024.
Dengan rekod tanpa kalah ini, Mahkota FC kini bersiap sedia untuk menghadapi cabaran lebih besar musim hadapan dengan misi mempertahankan kejuaraan mereka dan terus mengekalkan dominasi dalam saingan bola sepak tempatan.
Oleh Mohd Neenatul Aizal