
Kapten Arsenal, Martin Odegaard kelihatan kecewa selepas tumpas 1-0 di tangan West Ham pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, London. – Foto AFP
LONDON: Arsenal mengalami tamparan besar dalam usaha mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mereka tumbang 1-0 di laman sendiri kepada kelab bawahan West Ham, lewat malam tadi.
Jarrod Bowen menanduk masuk gol tunggal seminit sebelum rehat dan Arsenal yang dilanda kecederaan tidak menjawab selepas Myles Lewis-Skelly dibuang padang pada minit ke-73.
Kekalahan itu menyaksikan pasukan tangga kedua Arsenal kekal ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Liverpool.
The Reds boleh melebarkan kelebihan itu kepada 11 apabila mereka berkunjung ke Manchester City tengah malam ini.
Tekanan yang dihadapi Liverpool selepas seri dua daripada tiga aksi terakhir EPL mengendur sedikit ketika Arsenal gagal menangani krisis kecederaan yang menyukarkan pilihan Mikel Arteta di jentera serangan.
“Kami kehilangan pemain, tetapi kami perlu fokus kepada pemain yang ada dan kami mempunyai kualiti yang lebih daripada cukup untuk melakukan lebih lagi berbanding apa yang kami lakukan hari ini,” kata kapten Arsenal, Martin Odegaard.
“Ia tidak cukup bagus di depan pintu gol lawan.”
Pemain tengah Mikel Merino tampil sebagai penyerang susulan ketiadaan Kai Havertz, Gabriel Martinelli, Gabriel Jesus dan Bukayo Saka dengan dua gol lewat untuk mengalahkan Leicester 2-0 hujung minggu lalu.
Bagaimanapun, The Hammers mudah mengekang pemain Sepanyol itu dan meraih kemenangan kedua sejak Graham Potter mengambil alih tujuh perlawanan lalu.
Bowen melakukan sentuhan penamat untuk gol kemenangan, tetapi gol itu lebih kepada larian pantas memukau serta hantaran silang tepat daripada Aaron Wan-Bissaka yang memerangkap pertahanan Arsenal pada minit ke-44.
“Setiap orang menyatakan kami tidak boleh tetapi kami membuktikan sebaliknya kerana kami tahu kami boleh menang mana-mana perlawanan bola sepak,” kata Bowen selepas menyumbat gol ke-50 dalam EPL.
Tuan rumah kemudian berdepan tugas lebih getir dengan kad merah kelima dalam EPL musim ini.
Lewis-Skelly menerima dua daripadanya. Pemain remaja itu turut dibuang padang ketika menang 1-0 ke atas Wolves bulan lalu.
Keputusan itu ditarik balik selepas rayuan, tetapi pertahanan kiri itu tidak banyak membantah kali ini sekalipun pengadil Craig Pawson pada awalnya melayangkan kad kuning selepas Lewis-Skelly menjatuhkan Mohammed Kudus.
Selepas semakan VAR, Pawson menaik taraf kad kuning kepada merah kerana menafikan peluang menjaringkan gol yang jelas. – AFP