
LAWAS: Bertemakan Radio dan Perubahan Iklim, Sambutan Hari Radio SeBorneo telah mengabungkan tiga stesen penyiaran utama iaitu RTM Sarawak, RTM Sabah dan RTM Labuan untuk berkampung di daerah Lawas, Sarawak.
Gabungan yang ampuh ini berjaya menyerlahkan peranan ketiga-ketiga stesen ini khususnya dalam memaksimakan fungsi radio sebagai alat berkesan dalam mendepani krisis perubahan iklim yang meruncing secara globalnya.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu isu perubahan iklim yang mengancam dunia boleh mencetuskan fenomena seperti cuaca ekstrem, kenaikan paras laut dan ketidakseimbangan ekosistem dunia.
“Perubahan ini, mengakibatkan peningkatan cuaca ekstrem seperti taufan, dan banjir yang pastinya memberi banyak kesan kepada hidupan khususnya manusia.
“Mengambil contoh baru-baru ini, beberapa daerah di Sarawak terkesan akibat banjir.
“Justeru, menganggu operasi pembukaan sekolah, dan pada awal tahun lebih banyak kawasan terjejas banjir akibat luruan angin monsun yang mengakibatkan hujan lebat berterusan berlaku di Sabah dan Sarawak,” katanya pada perasmian Hari Radio SeBorneo di Stadium Tertutup Lawas, hari ini.

Teks ucapan beliau telah dibaca oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail yang mewakili Timbalan Premier Sarawak itu.
“Sebagai satu daripada alat media massa, peranan radio amat penting dalam menyebarkan maklumat yang menjangkau pendengar pelbagai lapisan termasuk mereka yang tinggal di kawasan terpencil yang memiliki keterbatasan dalam teknologi moden,” tambahnya.
Menerusi radio, maklumat sahih dan penting mengenai perubahan iklim dapat diterima oleh pendengar secara lebih menarik setelah disesuaikan dengan citarasa masyarakat masa kini untuk lebih difahami.
Selain itu, radio juga berperanan membantu pihak berkuasa dan melicinkan usaha kerajaan untuk menangani bencana alam yang dipengaruhi fenomena perubahan iklim.
Radio, malahan, menjadi medan maklumat utama untuk menyampaikan infromasi dengan lebih cepat khususnya dalam perkara melibatkan langkah-langkah keselamatan dalam konteks seperti mendepani situasi banjir.
“Radio adalah saluran yang mudah diakses oleh masyarakat pelbagai lapisan lebih-lebih lagi dengan wujudnya radio dalam talian seperti RTM Klik.
“Ketika memandu, ketika di pejabat, ketika berehat di rumah malah ketika berada di kebun, informasi tetap boleh diterima oleh pendengar, “ujarnya.
Justeru, bersempena Sambutan Hari Radio Sedunia 2025 Zon Borneo yang diadakan di Lawas masyarakat dapat melihat sinergi hasil kolaborasi 15 stesen radio RTM di Borneo dari RTM Sarawak antaranya SARAWAKfm, WAIfm, REDfm,LIMBANGfm, dan banyak lagi.
Sementara itu, RTM Sabah (SABAHfm, SABAH Vfm, TAWAUfm, SANDAKANfm, KENINGAUfm dan RTM Labuan iaitu LABUANfm telah berkongsi landasan menemui rakyat secara langsung dan melalui maya.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pengarah RTM Sarawak Wan Azhan Wan Hamat, Pengarah RTM Labuan Howard Martim Kim Sung@Cornelius dan Pengarah RTM Sabah Mohd Yusni Mohamed Ali.
Oleh Adeng Edrus