
KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Batu Kitang disarankan untuk terus mengekalkan kerjasama dalam rangkaian kepimpinan bagi memastikan parti tertua itu kekal relevan.
Presiden SUPP, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata sifat saling menghargai dan menghormati antara ahli perlu sentiasa dipupuk bukan sekadar untuk kebaikan parti malah demi keharmonian yang telah lama wujud di Sarawak.

”Kestabilan politik Sarawak selama ini tidak dipandang remeh kerana pemimpin di negeri ini sentiasa menekankan keterangkuman dan semangat mengekalkan keharmonian dalam kalangan pelbagai etnik.
”Contoh ini jelas ditunjukkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini menyatakan beliau menolak garis panduan untuk umat Islam ke majlis atau upacara bukan Islam di negeri ini.
”Kita di Sarawak akan sentiasa menolak sebarang fahaman yang berpotensi menjejaskan keharmonian antara pelbagai kaum dan agama kerana kita akan sentiasa berganding bahu mengekalkan perpaduan yang telah lama wujud,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Ulang Tahun Ke-9 SUPP Batu Kitang dan majlis makan Malam Gala Tahun Baharu Cina di Dewan Masyarakat Batu 10, di sini.
Sementara itu, Pengerusi SUPP Cawangan Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang berkata setiap rakyat Sarawak untuk bersatu dan menyokong kerajaan negeri dalam menuntut hak yang telah terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


”Dengan begitu banyak pencapaian dan inisiatif yang ditawarkan demi kesejahteraan rakyat, kita memerlukan kerajaan yang stabil di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
”Hari ini, Sarawak diiktiraf sebagai negeri berpendapatan tinggi dan kini terus berada di landasan yang tepat dalam mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM282 bilion menjelang 2030,” katanya.
Dalam majlis sama, Sim turut menyaksikan majlis Angkat Sumpah Jawatankuasa Tertinggi, Wanita dan Belia bagi cawangan itu.
Oleh Rynna Sha’erra