MIRI: “Syukur…dengan Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BKPBP) ini, ia serba sedikit dapat meringankan beban kami sekeluarga untuk menampung perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan dialisis bagi ibu kami,” demikian kata Nursyuria Mohamad Amin, 40, anak kepada seorang penerima inisiatif BKPBP, Lara Wahab.
Lara, 60, yang menghidap kencing manis memerlukan rawatan dialisis antara penerima inisiatif BKPBP diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak dalam membantu meringankan beban mereka memerlukan khususnya dari kumpulan B40 dan M40 yang memerlukan rawatan bermula tahun 2020.
Menurut Nursyuria, kos rawatan termasuk pengangkutan ibunya melebihi RM3,000 setiap bulan.
Katanya, sebelum ini, mereka adik-beradik ada memohon bantuan untuk membiayai kos rawatan ibu mereka, tetapi kali ini berjaya.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberikan perhatian kepada kehidupan keluarga kami dan sedikit sebanyak membantu meringankan kesusahan dihadapi selama ini,” katanya.
Nursyuria berkata demikian ketika ditemui selepas menemani ibunya menerima bantuan BKPBP sebanyak RM2,600 sebulan yang disampaikan oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah dalam majlis Penyerahan Endowment Fund (EFS), Insentif Ibu Bersalin, BKPBP, Geran Tahunan Khas, Badan Kenyalang Gold Card (KGC) di Dewan Tusan Kompleks Islam Sarawak di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Muda Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Rosey Yunus dan Menteri Muda Pelancongan,Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting.
Terdahulu, Dato’ Sri Fatimah dalam ucapannya berkata, Kerajaan Sarawak yang diterajui Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa mengutamakan kebajikan dan keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, sehingga kini pelbagai bantuan yang ditawarkan menerusi kementerian termasuk pemberian Endowment Fund (EFS), Insentif Ibu Bersalin, BKPBP, Geran Tahunan Khas, Badan Kenyalang Gold Card (KGC).
“Anda boleh lihat sendiri sama ada negeri lain ada menyediakan bantuan kesejahteraan sosial seumpama ini, kita berada di hadapan, walaupun populasi kita kecil tapi Kerajaan Sarawak mengutamakan rakyat dan juga menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.